Bahasa Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia
Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang cantik budi
Yang indah bahasa
Indahnya
Bahasa Melayu, begitu halus sehingga menusuk kalbu. Daripada banyak
faktor, bahasa muncul sebagai faktor yang dominan dan daripada begitu
banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai bahasa kebangsaan dan
seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat majmuk di negara
Malaysia.
Melihat kepada pengiktirafan yang diberi kepada Bahasa
Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga
berupaya mengangkat bahasa ini sebagai Teras Perpaduan Bangsa .
Maka
dalam tulisan ini saya ingin membuktikan kepada pembaca mengapa dan
bagaimana Bahasa Melayu mampu menjadi teras atau tunjang kepada
perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.Di akhirnya pula saya akan
menuliskan beberapa ancaman ke atas Bahasa Melayu dalam kedudukannya
untuk bertahan sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan.
Secara
konseptual Bahasa Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia bolehlah
didefinisikan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan
bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan
pelbagai kaum di negara ini.
Mengapakah Bahasa Melayu Dipilih Sebagai Bahasa Kebangsaan?Sejarah
membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca
atau bahasa komunikasi utama sejak zaman kesultanan Melayu Melaka pada
abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang
perdagangan dan hubungan diplomatik.
Dalam Kitab Sejarah Melayu
menyebutkan bagaimana para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa
Melayu dan menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin
dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu.
Dalam
konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian
turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini membuktikan bahasa
Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau
mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu yang akan
mengajar mereka.
Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti
undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu
dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita
betapa Bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna
sehingga ke peringkat antarabangsa.
Memandangkan Bahasa Melayu
telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai
bahasa komunikasi dan persuratan maka Bahasa Melayu telah dipersetujui
dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar
menjadi bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada
tahun 1957.
Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan
dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara
sepertimana yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi
persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.
Maka sejak
itu Bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa
perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi
kerajaan termasuk di mahkamah.
Jelas sekali Bahasa Melayu telah
diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan
bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.
Bagaimanakah Bahasa Melayu Boleh Berfungsi Secara Berterusan sebagai Bahasa perpaduan?Bahasa
Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa
Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa melayu bukan
sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi dan tidak
rasmi.
Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di
sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke
peringkat antarabangsa. Buktinya DS Mohd Najib telah bertutur dalam
Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah Universiti di China semasa lawatan
beliau ke sana baru-baru ini.
Ini bererti Bahasa Melayu yang
dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur
bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua.
Slanga
atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri
tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau
negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang
standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di
sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen
rasmi yang lain.
Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan
utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap
terbuka kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu
rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya
dengan perubahan semasa.
Dunia semakin berkembang, masyakaratnya
semakin maju dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya dengan
bahasa Melayu Sejak dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap
keterbukaan dan toleransi yang begitu tinggi,kepada kemasukan
isitilah-istilah baru dan kata asing. Dinamika bahasa ini amat
diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur seperti yang
berlaku kepada bahasa Sanskreta.
Sayugia diingat dalam
keghairahan kita hendak mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai
bahasa ini menerima nasib yang sama seperti dinossours yang akhirnya
pupus kerana gagal untuk menyesuaikan dirinya dengan perubahan semasa
dan persekitaran.
Maka menyedari hakikat itu DBP telah memainkan
peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan
istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan
teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.
Kedudukan
Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia diperkukuh
apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain.
Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana
pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum
masing-masing akan menerima nasib malang.
Rahsia Bahasa Melayu
tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga
kini ialah kerana jaminan yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia
yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan.
Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus dihormati dan tidak akan
disaingi oleh bahasa-bahasa lain.
Gerakan Cintailah Bahasa Kita
yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya
pihak kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai bahasa
komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan
turut melibatkan pelbagai kaum.Buktinya yang jelas ialah dengan adanya
pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC dan SRJKT
dan pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu
menjadi bahasa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.
Pemilihan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dan bahasa perpaduan melonjakkan
bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat majmuk sehingga mampu
menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu bahasa.
AncamanPerubahan
dunia semakin pantas dan kemajuan dunia semakin cepat. Persekitaran
lokal tiba-tiba sahaja bertukar kepada glokal dan akhirnya menuju
global. Bumi yang dulunya terpecah kepada begitu banyak kampung yang tak
berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar tanpa sempadan.
Bahasa
Melayu turut menerima cabaran apabila golongan remaja hari ini lebih
berminat menggunakan istilah dan gaya bahasa sendiri yang dikatakan
lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya teknologi
komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel elektronik
dan chating.
Kata-kata yang panjang telah diringkaskan dan
istilah-istilah baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan dan
lambat telah digantikan dengan mel elketronik, menelefon telah
digantikan dengan SMS dan MMS.
Bagi saya ini satu perkembangan
yang menakjubkan sekali gus menunjukkan bahasa Melayu sentiasa berupaya
menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada
pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan
terus berkembang sebagai alat perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada
Kementerian pelajaran dan DBP untuk menyelaraskan semua ini.
Akhirnya
marilah kita menyahut cabaran 1Malaysia cetusan idea YAB DS Mohd Najib
Tun Abdul Razak. Gagasan ini bukan sahaja mengajak kita berkongsi sebuah
negara, iaitu Malaysia tetapi juga berkongsi satu bahasa, iaitu Bahasa
Melayu yang telah terbukti mampu menjadi teras Perpaduan Bangsa Malaysia